Fragile = handle with care. Easily broken. Bagi aku itu perkataan paling sesuai untuk aku samakan dengan hati. Hati manusia. Hati aku. Percaya atau tidak perkara yang paling susah untuk dilakukan adalah untuk memujuk hati sendiri. Untuk bagitahu yang segala akan baik-baik sahaja. Untuk bagitahu yang semunya akan OK sahaja.
Susah.
Cukup susah.
Lagi susah kalau aku tahu yang benda itu tidak sepatutnya atau menentang norma fikiran dan prinsip aku tapi aku gagahkan untuk memujuk juga. Sebab apa? Sebab yang paling senang dalam dunia.
Sebab sayang.
Haih!
Sakit hati ini. Cukup sakit. Sakit nak menahan otak yang tidak berhenti berfikir untuk meneutralkan segala apa yang kau hamburkan pada aku. Sakit telinga aku nak menahan setiap kata-kata kau yang menusuk masuk. Kalau aku boleh pekak mungkin dah lama aku pekak dek kata-kata kau. Sakit mata aku nak menyeka air mata yang setiap kalinya ingin mengalir laju keras keluar dari mata kerana tak mampu menerima setiap kata-kata kau. Betul kata orang. Benda yang paling tajam adalah kata-kata.
Yang menambah ketajaman adalah status orang yang mengelurkan kata-kata itu. Lagi tajam kata-kata orang yang kita sayang.
Tajam. Sangat.
Manusia itu pelbagai. Dari rupa sampailah perangai. Seribu serba satu ragam yang kadang-kadang tak pernah kau fikir akan wujud pun. Tapi pada aku tidak kira berlainan warna atau sikap tapi kalau punya satu perasaan yang sama kita masih boleh berdiri, berjalan seiring. Tidak mustahil. Tahu perasaan apa?
Perasaan sayang.
Haih!
Dengan ada perasaan sayang semua yang mustahil pun boleh direalisasikan. Tidak ada yang mustahil sebab kita yang buat dia, bukan dia buat kita. Kuasa pada kita kalau nak mengubah dan berubah. Kalau betul kau sayang kau akan berubah atau mengubah supaya kau masih lagi boleh berdiri dan berjalan seiring bukan?
Memang betul kita tidak boleh mengubah seseorang tapi kita boleh mengubah diri sendiri untuk menyesuaikan diri, sikap, sifat, prinsip dan pendapat dengan orang yang kita sayang. Itu namanya bertolak ansur. Kadang bukan untuk menang dan kadang bukan untuk mengalah tapi kerana rasa ingin terus bersama. Bagi aku itu matang. Matang dalam hubungan. Tidak perlu nak marah tak tentu pasal atau nak merajuk tak tentu masa. Sebab kau faham aku dan aku faham kau.
Tapi yang aku tahu kau tak faham aku.
Memang kan?